Para pekerja yang sibuk membersihkan kawasan taman rekreasi gempar.
Raungan bunyi ambulan begitu mengejutkan ketika pagi yang masih terlalu awal ini.
Kelihatan beberapa petugas paramedik begitu sibuk memberi pertolongan kepada
sepasang muda-mudi yang terperangkap di dalam sebuah kereta di taman tersebut.
Nahas bagi pasangan merpati dua sejoli itu, malaikat maut telah mencabut nyawa
mereka dalam keadaan yang sungguh tragik.
Apa yang terjadi sebenarnya?
Ternyata sepasang muda-mudi itu nekad bunuh diri dengan menutup
saluran ekzos kereta dengan keadaan enjin kereta masih terpasang. Akibatnya
mereka mati dalam keadaan berpelukan dan saling berciuman sehingga begitu sukar
pihak bertanggung jawab memisahkan antara dua jasad tersebut. Begitu
‘mengharukan’!. Didalam kereta tersebut ditemui selembar kertas yang telah
mereka tanda tangani. Antara kandungannya; tolong jangan pisahkan mayat kami
dan terus dikebumikan bagi membuktikan cinta abadi kami sehidup semati. Dan di
bahagian akhir surat tersebut tercatat bahawa mereka melakukan ini demi
menyelamatkan cinta ‘sejati’ yang ‘suci’ ini kerana orang tua tidak merestui
hubungan cinta mereka. Astaghfirullah…!
Di sebuah rumah di Jazirah Arab 1400 tahun yang lampau…
Abdullah bin Abu Bakar RA baru saja melangsungkan pernikahan dengan
Atikah binti Zaid, seorang wanita cantik rupawan dan berbudi luhur. Dia seorang
wanita berakhlak mulia, berfikiran cemerlang dan berkedudukan tinggi. Sudah
tentu Abdullah amat mencintai isteri yang sebegitu sempurna menurut pandangan
manusia.
Pada suatu hari, ayahnya Abu Bakar RA lalu di rumah Abdullah untuk
pergi bersama-sama untuk shalat berjamaah di masjid. Namun apabila beliau dapati
anaknya sedang berbual-bual dengan Atikah dengan lembut dan mesra, beliau
membatalkan niatnya dan meneruskan perjalanan ke masjid.
Setelah selesai menunaikan shalat Abu Bakar RA sekali lagi melalui
jalan di rumah anaknya. Alangkah kesalnya Abu Bakar RA apabila beliau dapati
anaknya masih bersenda gurau dengan isterinya sebagaimana sebelum beliau
menunaikan shalat di masjid. Lantas Abu Bakar RA segera memanggil Abdullah,
lalu bertanya : “ Wahai Abdullah, adakah kamu shalat berjamaah ?” Tanpa
berpikir panjang Abu Bakar berkata : ““Wahai Abdullah, Atikah telah melalaikan
kamu dari kehidupan dan pandangan hidup malah dia juga telah melengahkan kamu
dari shalat fardlu, ceraikanlah dia!” Demikianlah perintah Abu Bakar kepada
Abdullah. Suatu perintah ketika Abu bakar dapati anaknya mula melalaikan hak
Allah. Ketika beliau dapati Abdullah mula sibuk dengan isterinya yang cantik.
Ketika beliau dapati Abdullah terpesona keindahan dunia sehingga menyebabkan
semangat juangnya semakin luntur.
Lalu bagaimana tanggapan Abdullah? Tanpa berdolak dalih apatah lagi
cuba membunuh diri, Abdullah terus menyahut perintah ayahandanya dan
menceraikan isteri yang cantik dan amat dicintainya. Subhanallah!!!
Dari dua petikan kisah di atas, marilah kita sama-sama merenung
tentang hakikat dan bagaimana cinta sejati , tulus dan suci itu sebenarnya.
Sesungguhnya perjalanan hidup manusia akan sentiasa dipenuhi dengan warna-warna
cinta. Malah boleh kita ungkapkan bahawa kehadiran manusia di muka bumi ini
disebabkan Allah SWT mencampakkan suatu perasaan di dalam jiwa manusia, itulah
CINTA.
Membicarakan tentang cinta ibarat menuras air lautan dalam yang
kaya dengan pelbagai khazanah alam. Tak kan pernah habis dan kita akan sentiasa
menemui berjuta macam benda. Dari sekecil-kecil ikan hingga ikan paus yang
terbesar. Dari kerang sampai mutiara malah jika diizinkan Allah, kita mungkin
menemui bangkai kapal dan bangkai manusia!!!
Usia sejarah cinta seumur dengan sejarah manusia itu sendiri. Jika
di suatu tempat ada 1000 manusia maka di situ ada 1000 kisah cinta. Dan jika di
muka bumi ini ada lebih 5 million manusia, maka sejumlah itu pulalah kisah
cinta akan digelar.
Walau berapa banyak pun nuansa cinta yang menjelma menjadi sebuah
syair, drama, filem, lagu dan berbagai bentuk hasil seni lain, namun pada
hakikatnya cinta itu hanya ada dua buah versi sahaja. Versi cinta nafsu
(syahwat) dan cinta Rabbani.
Yang menjadi persoalan sekarang adalah mampukah kita membedakan
yang mana cinta syahwat dan mana cinta Rabbani?
Derasnya arus ghazwul fikr (serangan pemikiran) dalam kesenian
terutamanya, telah mampu membungkus cinta syahwat sehingga ia tampil sebagai
cinta “suci” yang mesti diperjuangkan, dimenangkan dan diraih seterusnya untuk
dinikmati.
Manusia seakan lupa pada sejarah. Lupa pada kisah-kisah tragik yang
berakhir di hujung pisau atau dalam segelas ‘penawar’ rumpai. Mereka semua rela
diseret dan dijeremuskan ke dalam lubang ‘neraka’ hanya untuk mengejar salah
satu rasa dari sekian banyak rasa yang ada disudut hati manusia, itulah cinta.
Cinta memiliki kekuatan luar biasa. Dan kekuatan cinta (the power
of love) mampu menjadikan manusia peribadi yang sangat nekad atau sangat taat.
Nekad dalam konteks sangat berani dalam melanggar peraturan-peraturan Allah
seperti berkhalwat (berdua-duaan dengan bukan mahram), berkasih-kasihan lelaki
dan perempuan, berpegangan tangan, mempertontonkan adegan berahi percuma di
khalayak ramai apatah lagi dalam sembunyi. Atau jika cinta tak mendapat restu
dari orang tua, pasangan akan nekad, terus lari dari rumah atau berzina
(na’udzubillah min dzalik). Dan tidak sedikit pula yang begitu nekad sanggup
melakukan perbuatan yang dilaknat Allah iaitu membunuh diri demi cinta.
Pribadi-pribadi nekad seperti ini menjadikan cinta sebagai tujuan
bukan sebagai sarana mencapai tujuan. Oleh itu tidak hairanlah jika kita temui
pelbagai kelakuan aneh para pencari cinta yang tak masuk akal. Sebab apa yang
mereka tuju adalah suatu yang abstrak, tidak jelas dan bukan perkara yang
pokok. Mereka sibuk mencari dan mengertikan makna cinta sementara lalai
terhadap Dzat yang menganugerahkan cinta. Dzat yang menumbuh suburkan rasa
cinta. Dzat yang memberikan kekuatan cinta. Dzat yang paling layak dicintai,
kerana Dia juga Empunya nikmat cinta. Allah Rabbul ‘Alamin.
Kisah tragik di awal tulisan ini memberikan gambaran jelas sikap
manusia yang rela mengorbankan diri demi sepotong cinta. Muda-mudi yang nekad
bunuh diri dengan pelbagai cara ini pada dasarnya belum mengenali hakikat
cinta. Cinta yang mereka kenal selama ini adalah cinta yang ditunggangi oleh
nafsu syahwat. Dan joki penunggangnya adalah syaitan laknatulllah. Pada momen
ini syaitan berteriak keriangan sambil mengibar-ngibarkan bendera kemenangan
kerana berhasil menjerumuskan anak cucu Nabi Adam dalam neraka jahannan dengan
dalih cinta yang begitu murah nilainya.
Sebuah kisah lain tentang tragedi cinta dan kebodohan manusia yang
amat memalukan berlaku di Dhaka. Menurut laporan berita salah satu akhbar ibu
kota di negeri tersebut, seorang ayah dan anaknya mati saling tikam menikam
hanya kerana merebut cinta seorang gadis. Tragedi bermula apabila si gadis
tidak tahu bahawa dua lelaki yang sering menjadi teman asmaranya pada waktu
yang berbeza adalah ayah dan anak. Sampailah pada suatu saat mereka terserempak
pada waktu yang sama. Maka tragedi pun bermula. Kedua-duanya sangat marah
sehingga membawa kepada pertengkaran dan akhirnya pergelutan dan perkelahian
yang berakhir dengan si ayah mati akibat tertusuk di perutnya. Namun sebelum
rebah ia berjaya menancapkan belati di jantung anaknya. Matilah keduanya. Dan
pastilah neraka tempat kembalinya.
Itulah tragedi cinta. Cinta memang tak kenal warna. Cinta tak kenal
baik-buruk. Cinta tak kenal rupa dan pertalian darah. Memang begitulah adanya.
Kerana yang mampu mengenal warna dan baik-buruk adalah pelaku-pelaku cinta yang
menggunakan akal fikirannya.
Sebaliknya cinta juga mampu melahirkan peribadi-peribadi yang
mengagumkan. Peribadi yang tak takut kehilangan suatu apa pun walau ia amat
cinta pada sesuatu. Namun kerana cinta yang hadir dipenuhi dengan nuansa
keimanan, maka mereka rela mengorbankan apa saja yang mereka amat cintai demi
memperolehi keredhaan Dzat Pemberi cinta. Jiwa mereka tidak gundah gulana
kerana kehilangan cinta duniawi kerana Allah sebagai Dzat pemberi ketenteraman
Peribadi-peribadi taat ini amat menyedari bahawa cinta hanyalah sebagai sarana
mencapai tujuan. Mereka yakin kenikmatan cinta tak ada ertinya tanpa ada restu
Allah sebagai Pemberi cinta. Maka yang mereka cari adalah redha dan cinta
Allah, bukan cinta yang bersifat sementara.
Kisah Abdullah putera Abu Bakar RA menjadi contoh kematangan pemuda
yang mengenal erti cinta. Bayangkan!! Dia memiliki isteri yang amat cantik,
berakhlak mulia, berkedudukan tinggi dan berharta. Namun apabila ayahandanya
memerintahkan untuk menceraikan isterinya, dengan alasan isterinya telah
melalaikan Abdullah dalam menunaikan hak Allah seterusnya akan melengahkan
Abdullah berjihad di jalan Allah. Maka apa reaksi Abdullah? Tidak!! Abdullah
tidak marah langsung pada ayahnya. Atau berusaha mengambil pedang dan ingin
memenggal kepala si ayah yang berusaha memisahkan jalinan cinta yang memang
sudah sah itu. Sekali lagi tidak!! Pemuda yang bernama Abdullah melihat
perintah itu dengan kacamata cinta yang diberikan Allah. Ia rela menceraikan
isteri yang dicintainya demi mempererat hubungan cinta dengan Allah.
Subhanallah… Masih adakah pemuda-pemuda seperti peribadi Abdullah di zaman
globalisasi kini?
Begitulah cinta. Ia mampu melambungkan manusia pada derajat
kemuliaan yang tak terhingga. Manakala frekuensi atau gelombang cintanya juga
sudah selari dengan frekuensi atau gelombang cinta yang Allah kehendaki.
Semuanya akan senada seirama. Tak ada dengung sumbang, tak ada nada ternoda.
Demikian indah dan asli irama cinta sejati.
sumber: pustaka islam/pesantrenonline.com
0 komentar:
Posting Komentar
Silahkan berkomentarlah yang santun dan bijak